Selasa, 1 Januari 2013

Rombak FAM : Hamidin enggan ulas


SHAH ALAM - Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Amin mengambil pendirian untuk mengunci mulutnya berhubung desakan lantang supaya kepimpinan badan induk itu dirombak.

Jumaat lalu, sekumpulan penyokong nekad meluahkan rasa tidak puas hati yang telah lama bersarang dalam dada kepada media tempatan.

Bagi mewakili suara tidak puas hati terhadap FAM itu, seorang penyokong tegar skuad Harimau Malaya, Alfadli Awaludin tampil pada sidang akhbar di sini, kelmarin dengan menyuarakan pandangan mereka terhadap kegagalan bola sepak Malaysia.

Bagaimanapun, tiada seorang pun daripada barisan kepimpinan FAM tampil mengulas setakat semalam termasuklah Hamidin yang diajukan soalan mengenainya.

Hamidin berkata, beliau bukanlah orang yang sesuai untuk mengeluarkan kenyataan bagi pihak FAM, sebaliknya menyerahkan tanggungjawab itu kepada sama ada Presiden, Sultan Ahmad Shah atau Setiausa Agung, Datuk Azzudin Ahmad.

“Kami yang berperanan sebagai pegawai juga ada pengorbanannya yang tidak diketahui pihak luar.

“Namun, saya tidak mahu mengulas perkara ini, yang lebih layak adalah Presiden atau Setiausaha Agung untuk mewakili satu suara FAM.

“Saya tidak mahu memberi apa-apa komen yang hanya boleh menghangatkan isu ini," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Piala Sumbangsih di Stadium Shah Alam semalam.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim yang kelmarin menyifatkan desakan agar Sultan Ahmad Shah berundur tidak relevan.

Menurut beliau, sekalipun baginda meletakkan jawatan dan digantikan dengan individu lain, ia belum tentu mampu mengubah senario dalam pentas bola sepak negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan