Rabu, 9 Januari 2013
Masa depan bola sepak negara cerah - Kim Swee
JURULATIH Harimau Muda, Ong Kim Swee (gambar) optimis bahawa masa depan bola sepak negara masih ada sinarnya dan perkara itu dibuktikan dengan kehadiran begitu ramai pemain-pemain muda berbakat besar ketika ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas prestasi pemain-pemain belia negara yang beraksi pada Kejohanan Piala Antarabangsa Frenz 2012 yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) minggu lepas.
"Perkembangan itu dapat dilihat sekarang dengan persembahan menarik oleh dua pasukan bawah 15 tahun (B-15) negara iaitu Malaysia B-15 dan pasukan Frenz United Malaysia.
"Bagi membentuk sebuah pasukan kebangsaan yang mantap, kita perlu memberi perhatian serius terhadap pembangunan pasukan remaja," kata Kim Swee kepada Kosmo! baru-baru ini.
Katanya, untuk merealisasikan hasrat itu, ia memerlukan satu kelompok pemain yang besar bagi setiap peringkat umur.
Menurutnya lagi, apabila negara mempunyai jumlah pemain muda yang ramai, ia akan memberi banyak pilihan bagi menyerap pemain-pemain terbaik ke dalam pasukan senior kelak.
"Ketika ini, kita hanya memiliki kelompok kecil pemain muda dan untuk itu, semua pihak perlu memainkan peranan besar bagi menggilap pemain-pemain tersebut sebelum mereka benar-benar matang.
"Selain pasukan B-15 dan Frenz United, kita memiliki satu lagi pasukan hebat pada peringkat umur yang berpangkalan di Bandar Penawar, Johor kendalian bekas pemain Johor, Khalid Shahdan," katanya.
Dalam pada itu, Kim Swee turut memuji pihak pengurusan Frenz United kerana inisiatif yang sangat membanggakan kerana usaha membentuk sebuah akademi bagi mencungkil bakat baharu di negara ini yang mampu untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi pada masa depan.
Pada Kejohanan Piala Antarabangsa Frenz 2012 itu, pasukan B-15 Slovakia muncul juara sulung kejohanan setelah mereka mengalahkan Persepolis dari Iran manakala dua wakil negara, Frenz United Malaysia dan Malaysia B-15 sekadar menduduki tempat ketiga dan keempat.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan