Jumaat, 18 Januari 2013
Ketiadaan Safiq angkara kad merah
Kuala Lumpur: Ketiadaan Safiq Rahim dalam senarai pemain skuad kebangsaan yang diumum Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), kelmarin bukanlah dibuat atas faktor kemerosotan prestasi sebaliknya kapten Harimau Malaysia itu terpaksa diketepikan kerana masih menjalani penggantungan perlawanan.
Menurut kenyataan dikeluarkan badan induk bola sepak tanah air itu, Safiq Rahim, 25, digantung perlawanan antarabangsa selepas menerima kad merah ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Singapura di Stadium Jalan Besar, Singapura pada 23 Julai 2011.
“Laporan menyatakan Safiq Rahim digugurkan tidak tepat. Beliau tidak disenaraikan atas sebab-sebab teknikal,” menurut kenyataan FAM itu.
Akibat kad merah itu, pemain tengah Johor Darul Takzim digantung dua perlawanan namun sudah menjalani penggantungan perlawanan apabila tidak diturunkan ketika aksi timbal balik di Kuala Lumpur pada 28 Julai 2011.
Pada aksi kelayakan itu, Malaysia tumpas di tangan Singapura menerusi agregat 4-6.
Bagaimanapun tidak mengejutkan jika Rajagobal benar-benar menggugurkan pemain perancang itu memandangkan aksinya kurang menyerlah di kejohanan Piala AFF 2012 yang menyaksikan Malaysia gagal mempertahankan kejuaraan selepas terkandas di peringkat separuh akhir.
Malah persembahannya dalam liga bersama pasukan berbelanja besar Johor Darul Takzim hanya sederhana jika dibandingkan kapten Kelantan, Mohd Badri Radzi dan pemain Pahang, Amirulhadi Zainal.
Tiada rombakan dalaman besar-besaran dilakukan Rajagobal bagi mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2014 bulan depan apabila hanya Azmi Muslim, Ahmad Fakri Saarani dan Ahmad Hazwan Bakri yang bersama skuad Piala AFF tidak dipanggil kali ini manakala Zubir Azmi serta Baddrol Bakhtiar diletakkan dalam senarai menunggu.
Cuma kehadiran penyerang Pahang, Mohd Fauzi Roslan yang dipanggil buat kali pertama serta penampilan semula penggempur utama Kelantan, Mohd Norfarhan Muhammad dalam senarai lapan pemain bukan dari skuad Piala AFF diharap dapat memberikan kelainan dalam skuad kebangsaan kali ini.
Selepas menjalani latihan selama tiga hari di Wisma FAM Kelana Jaya bermula 26 Januari ini, skuad kebangsaan akan berlepas ke Dubai untuk mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Iraq pada 31 Januari sebagai persiapan mengharungi perlawanan pertama kelayakan Piala Asia 2015 dengan Qatar pada 6 Februari.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan