Selasa, 1 Januari 2013
Jadikan tahun 2013 musim menuai kejayaan
SELAMAT tahun baharu. Tahun 2012 meninggalkan dunia sukan dengan penuh kenangan pahit dan manis, malah pengalaman sewajarnya menjadi sempadan buat kita semua.
Bermula hari ini juga, kita semua sepatutnya menyusun langkah lebih kemas dengan azam menggunung untuk mencipta yang terbaik.
Menanti kita pada tahun 2013 adalah temasya-temasya sukan yang cukup mencabar buat kontinjen negara bermula dengan Festival Olimpik Remaja Australia dari 16 hingga 20 Januari ini di Sydney.
Menjelang bulan Februari, skuad Harimau Malaya bimbingan jurulatih Datuk K. Rajagobal yang masih hangat menghiasi tajuk akhbar pula akan mengharungi kelayakan Piala Asia 2015.
Pada firasat penulis, di sinilah hala tuju skuad Harimau Malaya akan dinilai lagi kemampuannya.
Selepas kempunan mempertahankan Piala Suzuki AFF 2012, Harimau Malaya akan memasuki fasa lebih getir dan mencabar untuk mencari tempat di pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia.
Medan kelayakan Piala Asia akan mengukur lagi kemampuan Rajagobal yang mempunyai kontrak melatih pasukan kebangsaan sehingga akhir tahun ini.
Ironinya, jika Harimau Malaya layak, maka ia akan menjadi satu kejutan dan perubahan paradigma buat skuad kebangsaan dalam kancah antarabangsa.
Jika sebaliknya, maka sudah semestinya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memikirkan langkah untuk menyelamatkan bola sepak negara.
Terus-terang penulis sebenarnya masih belum mahu berhenti memikirkan nasib bola sepak negara kerana sehingga kini, belum ada tanda-tanda Rajagobal mahu memberi reaksinya dan menerangkan percaturannya dalam kelayakan Piala Asia.
Tahun ini juga sekali lagi atlet negara akan diuji kemampuan dalam cabang-cabang sukan, bertanding di Sukan SEA Myanmar dari 11-22 Disember,
Malah, di sinilah juga ujian berat buat skuad Harimau Muda untuk mempertahankan ibu emas yang dimenanginya untuk kali kedua berturut-turut sebelum ini.
Ini juga akan menjadi ujian terbesar buat Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang dibarisi kepemimpinan baharu dalam menobatkan semula sukan olahraga.
Jika maruah negara pernah tercalar dengan isu melibatkan doping, maka kali ini biarlah kepulangan atlet dalam keadaan bersih.
Tahun 2012 juga menyaksikan kebangkitan skuad hoki negara baik remaja mahupun pasukan senior.
Ini satu petanda baik, malah kemampuan jurulatih senior, Paul Revington meletakkan semula skuad hoki di landasan kejuaraan sewajarnya dipuji.
Kejayaan menghuni tangga ketiga dalam Cabaran Trofi Asia adalah satu permulaan yang hebat dalam kita meniti cabaran dan mencari tempat dalam Sukan Olimpik 2016 di Rio, Brazil.
Badminton pula terus mengundang kerisauan peminat tentang kemampuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengetengahkan pengganti sehebat Datuk Lee Chong Wei.
Setakat ini, belum ada lagi pemain pelapis yang layak dikategorikan sehebat Chong Wei.
Namun, kejayaan anak lelaki legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek, Misbun Ramdan menjadi sedikit penawar dan sandaran harapan agar akan ada kebangkitan legenda baharu.
Gelaran Like father, like son - semoga ia betul seperti apa yang dikatakan terhadap Misbun Ramdan.
Kepada atlet sukan-sukan lain, teruskan usaha gigih anda.
Malaysia Boleh!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan