Khamis, 24 Januari 2013

shukur tekad pikat hati rajagobal


PEMAIN tengah Selangor, Abdul Shukur Jusoh mahu membalas kepercayaan yang diberikan jurulatih, Datuk K. Rajagobal selepas disenaraikan sebagai pelatih skuad Harimau Malaya bagi menghadapi kempen kelayakan Piala Asia 2015.
Shukur berkata, dia kini sudah memasang azam untuk menampilkan aksi terbaik dalam latihan pusat skuad Harimau Malaya, seterusnya mampu memikat Rajagobal untuk diturunkan ketika menentang Qatar pada aksi pertama kelayakan Piala Asia 2015 di Doha, 6 Februari depan.
Biarpun sedar persaingan dalam kalangan pemain cukup sengit, Shukur berkata, dia akan berjuang habis-habisan untuk merebut tempat dalam skuad utama Harimau Malaya.
“Pertama sekali, tersenarai dalam skuad Harimau Malaya bagaikan mimpi. Saya amat gembira kerana jurulatih (Rajagobal) memberikan perhatian kepada saya.
“Beraksi bersama skuad kebangsaan merupakan impian bagi setiap pemain, apatah lagi untuk beraksi dalam skuad utama Harimau Malaya, ia adalah cita-cita saya sebagai pemain bola sepak profesional.
“Saya tahu persaingan untuk mendapatkan tempat dalam skuad utama amat sukar tetapi saya sudah bersedia,” kata Shukur ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Dalam perkembangan sama, Shukur mengakui corak permainannya semakin bertambah baik selepas berada di bawah bimbingan jurulatih Selangor Irfan Bakti Abu Salim musim ini.
“Mungkin Rajagobal mengetahui apa kelebihan saya dan sejujurnya, saya berpendapat permainan saya meningkat sejak dibimbing Irfan.
“Pengalaman saya bersama Terengganu dan Selangor banyak memberikan saya kelebihan dan kini, saya mahu membuktikan di pentas yang lebih tinggi,” katanya yang beraksi kali pertama bersama Harimau Malaya ketika menentang Vietnam pada aksi persahabatan tahun lalu.
Selain Shukur, pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohd. Fitri Omar juga antara dua muka baharu yang akan menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya di Wisma FAM bermula Sabtu ini.
Difahamkan, tindakan Rajagobal menyenaraikan Shukur dan Fitri itu dilihat sebagai langkah alternatif bagi mengisi tempat yang ditinggalkan oleh Wan Zack Haikal Wan Nor yang mengalami kecederaan baru-baru ini.
Terdahulu, Rajagobal telah menyenaraikan 26 pelatih serta tujuh pemain yang berada dalam senarai simpanan atau KIV bagi mengikuti kem latihan pusat bagi menghadapi beberapa aksi persahabatan dan kempen kelayakan Piala Asia 2015 bermula bulan depan.





PENGENDALI Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal mula melakukan pemerhatian di beberapa venue perlawanan Liga Malaysia bagi mengikuti perkembangan dan prestasi semasa anak- anak buahnya menjelang kempen kelayakan Piala Asia 2015 bulan depan.

Sebelum ini, Rajagobal telah menyenaraikan 26 pelatih bagi mengikuti latihan pusat skuad Harimau Malaya yang dijadualkan bermula Sabtu ini.

Rajagobal memberitahu, apa yang dilakukan beliau ketika ini merupakan tugas rutin iaitu memantau prestasi semasa para pemain Harimau Malaya.

“Kalau kita boleh nampak pemain yang bersinar atau bermain dengan baik, kita akan beri peluang kepada mereka yang menunjukkan permainan baik dan konsisten.

“Saya juga berharap pemain yang mewakili pasukan kebangsaan ini akan bermain dengan baik dalam semua perlawanan Liga Malaysia,” katanya.

Rajagobal berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan perlawanan Liga Super antara Pahang dan Terengganu di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam kelmarin.

Jelas Rajagobal, setakat ini beliau telah dapat mengumpul barisan pemain terbaik hasil pemerhatian barisan kejurulatihan Harimau Malaya.

Ujar beliau, dua pemain Pahang yang menyerlah ketika ini iaitu Mohd. Hafiz Kamal dan Mohd. Fauzi Rozlan adalah antara pemain disenaraikan untuk dipanggil mengikuti latihan.

Kata beliau, pemain berpengalaman seperti Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha juga dipanggil mengikuti latihan berkenaan.

“Apabila beraksi pada peringkat Asia, kita perlu pemain seperti mereka yang lebih agresif di samping muka-muka baharu.

“Saya percaya kombinasi ini (para pemain) akan membantu skuad negara (bagi menghadapi kempen kelayakan Piala Asia 2015).

“Berbeza dengan saingan Piala Suzuki AFF yang dipertandingkan pada peringkat Asia Tenggara, Piala Asia dilihat lebih mencabar dan memerlukan khidmat para pemain seperti ini,” katanya.

Kempen kelayakan Piala Asia 2015 dijadual bermula 6 Februari depan dengan 20 pasukan akan dibahagi kepada lima kumpulan merangkumi empat pasukan.

Dalam pusingan kelayakan tersebut, skuad Harimau Malaya dundi dalam Kumpulan D bersama Qatar, Bahrain dan Yemen.

Dua pasukan teratas selepas mengharungi enam perlawanan timbal balik akan layak ke pusingan akhir Piala Asia di Australia bermula 4 hingga 26 Januari 2015.




Sabtu, 19 Januari 2013

sheang tsung gagal pikat kim swee


PENGENDALI Harimau Muda A, Ong Kim Swee menyifatkan pemain muda kelab China, Tam Sheang Tsung masih belum bersedia untuk menggalas tugas bersama skuad bawah 23 tahun (B-23) negara.

Menurut Kim Swee, pemain berusia 18 tahun itu yang beraksi dalam Liga Super China dilihat kurang menyerlah ketika turun buat kali pertama dengan Harimau Muda A pada satu perlawanan persahabatan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.

Pengendali kelahiran Melaka itu memberitahu, faktor usia antara salah satu punca mengapa Sheang Tsung belum bersedia untuk menyarung jersi skuad Harimau Muda A.

“Tujuan utama kita pada aksi persahabatan ini adalah untuk menilai tahap kecergasan pemain dan pada masa yang sama menilai keupayaan Sheang Tsung yang mewakili kelab Shanghai Shenhua dalam Liga Super China.

“Apa yang kita dapat lihat, dia masih memerlukan banyak lagi masa untuk meningkatkan kemampuannya walaupun saya tahu dia baru tiba di ibu negara kelmarin.

“Saya fikir, pemain-pemain lebih menyerlah sama ada dari segi kepantasan dan teknik.

“Jadi, saya sarankan agar Sheang Tsung diserapkan dalam skuad yang lebih muda dan bukan dengan Harimau Muda A.

“Selain faktor usia, dia juga memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di sini.

“Sheang Tsung akan berlatih dengan kita hingga 22 Januari ini sebelum kami bertolak ke Australia nanti.

“Saya harap selepas ini dia dapat memanfaatkan peluang yang diberikan sebaik mungkin,” katanya semalam.

Pada masa yang sama, Kim Swee juga berharap agar segelintir pihak tidak tersilap tafsir terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang didakwa gagal memberikan pemantauan ke atas pemain kelahiran negara yang beraksi bersama pasukan luar.

“Kita tidak melupakan pemain-pemain ini atau tiada sebarang pemantauan tetapi jika mereka menunjukkan prestasi yang memberangsangkan, kita akan panggil mereka untuk menyertai latihan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Sheang Tsung yang kedua-dua ibu bapanya berasal dari Kedah dan menetap di Jepun, gagal menyembunyikan perasaan kecewanya selepas mempamerkan persembahan hambar pada aksi persahabatan semalam.

“Sejujurnya, saya amat kecewa dan malu dengan prestasi saya sendiri,” katanya.


Jumaat, 18 Januari 2013

Ranking Harimau Malaya tidak berubah, kekal ke-158 dunia


Kuala Lumpur: Tanpa perlawanan antarabangsa pada awal tahun menjadi penyebab pasukan Malaysia kekal pada ranking ke-158 dunia.

Ranking terbaru dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menunjukkan mata dikumpul skuad bimbingan Datuk K Rajagobal (gambar) naik satu mata kepada 134 mata pada bulan ini. Kedudukan ranking Malaysia dijangka berubah pada bulan depan apabila skuad Harimau Malaya menyertai perlawanan persahabatan antarabangsa pertama untuk tahun ini menentang Iraq di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 31 Januari.


Senarai kedudukan terkini menunjukkan pasukan Harimau Malaya setanding dengan beberapa pasukan seperti Maldives yang berada pada ranking ke-159, Lesotho (160), Republik Dominica (161), Myanmar (162) dan Hong Kong (163).

Di kalangan negara Asia Tenggara pula, Malaysia kekal di tempat keenam di belakang Vietnam (134), Thailand (138), Filipina (147), Singapura (154) dan Indonesia (156).


Sementara itu, Sepanyol terus mengekalkan status selaku pasukan terbaik dunia dengan mengumpul 1,606 mata.


Jerman dan Argentina turut mengekalkan kedudukan selaku pasukan kedua dan ketiga terbaik dunia apabila masing-masing mengutip 1,437 dan 1,290 mata.

Kedudukan ranking FIFA itu membabitkan 209 negara. - Bernama

Ketiadaan Safiq angkara kad merah




Kuala Lumpur: Ketiadaan Safiq Rahim dalam senarai pemain skuad kebangsaan yang diumum Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), kelmarin bukanlah dibuat atas faktor kemerosotan prestasi sebaliknya kapten Harimau Malaysia itu terpaksa diketepikan kerana masih menjalani penggantungan perlawanan.

Menurut kenyataan dikeluarkan badan induk bola sepak tanah air itu, Safiq Rahim, 25, digantung perlawanan antarabangsa selepas menerima kad merah ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Singapura di Stadium Jalan Besar, Singapura pada 23 Julai 2011.


“Laporan menyatakan Safiq Rahim digugurkan tidak tepat. Beliau tidak disenaraikan atas sebab-sebab teknikal,” menurut kenyataan FAM itu.

Akibat kad merah itu, pemain tengah Johor Darul Takzim digantung dua perlawanan namun sudah menjalani penggantungan perlawanan apabila tidak diturunkan ketika aksi timbal balik di Kuala Lumpur pada 28 Julai 2011.


Pada aksi kelayakan itu, Malaysia tumpas di tangan Singapura menerusi agregat 4-6.


Bagaimanapun tidak mengejutkan jika Rajagobal benar-benar menggugurkan pemain perancang itu memandangkan aksinya kurang menyerlah di kejohanan Piala AFF 2012 yang menyaksikan Malaysia gagal mempertahankan kejuaraan selepas terkandas di peringkat separuh akhir.

Malah persembahannya dalam liga bersama pasukan berbelanja besar Johor Darul Takzim hanya sederhana jika dibandingkan kapten Kelantan, Mohd Badri Radzi dan pemain Pahang, Amirulhadi Zainal.


Tiada rombakan dalaman besar-besaran dilakukan Rajagobal bagi mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2014 bulan depan apabila hanya Azmi Muslim, Ahmad Fakri Saarani dan Ahmad Hazwan Bakri yang bersama skuad Piala AFF tidak dipanggil kali ini manakala Zubir Azmi serta Baddrol Bakhtiar diletakkan dalam senarai menunggu.

Cuma kehadiran penyerang Pahang, Mohd Fauzi Roslan yang dipanggil buat kali pertama serta penampilan semula penggempur utama Kelantan, Mohd Norfarhan Muhammad dalam senarai lapan pemain bukan dari skuad Piala AFF diharap dapat memberikan kelainan dalam skuad kebangsaan kali ini.


Selepas menjalani latihan selama tiga hari di Wisma FAM Kelana Jaya bermula 26 Januari ini, skuad kebangsaan akan berlepas ke Dubai untuk mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Iraq pada 31 Januari sebagai persiapan mengharungi perlawanan pertama kelayakan Piala Asia 2015 dengan Qatar pada 6 Februari.

Norfarhan mahu buktikan




SELEPAS enam tahun tersisih daripada menyarung jersi skuad bola sepak kebangsaan, pemain sayap Kelantan, Mohd. Norfarhan Mohammad kembali dipanggil untuk menjalani sesi latihan skuad negara bagi menghadapi aksi persahabatan antarabangsa dan kempen kelayakan Piala Asia 2015.

Aksi Norfarhan membantu pasukannya menjulang kejuaraan trebel musim lalu mendapat perhatian pengendali skuad kebangsaan Datuk K. Rajagobal untuk menjalani latihan bersama Harimau Malaya.

Pemain kelahiran Kuala Terengganu itu menyertai mengiringi tiga tonggak The Red Warriors iaitu Shakir Shaari, Khairul Fahmi Che Mat dan bintang muda, Nik Mohd. Shahrul Azim Ab. Halim.

Norfarhan ketika ditemui pemberita menyifatkan pemilihan tersebut bakal melonjakkan lagi perjalanan kariernya selaku pemain bola sepak.

Menurutnya, dia berazam untuk menggunakan peluang tersebut sebaik mungkin bagi membuktikan dia layak menyarung jersi pasukan kebangsaan.

“Saya gembira dengan berita ini. Ia merupakan sesuatu yang baik untuk saya dan perjalanan karier bola sepak saya,” katanya.

Norfarhan antara muka lama yang berjaya mendapat kepercayaan Rajagobal untuk menjalani latihan bersama skuad kebangsaan selain tonggak Terengganu, Ashaari Shamsuddin.

Mengulas mengenai pertemuan dengan Felda United esok (hari ini), pemain yang terkenal dengan gelaran Ben10 dalam kalangan peminat The Red Warriors mahu rakan-rakan sepasukan memberikan aksi terbaik pada perlawanan itu kelak.

“Tiga mata perlu diraih dalam perlawanan ini. Felda United bukanlah calang-calang pasukan, mereka mempunyai pemain hebat seperti Mohammad Ghaddar di jentera serangan.

“Begitu juga dengan pertahanan yang dikemudi oleh tonggak berpengalaman seperti Khairulnisham Shahbuddin, jadi kita tidak boleh ambil mudah perlawanan ini,” ujarnya.

Rabu, 9 Januari 2013

Masa depan bola sepak negara cerah - Kim Swee


JURULATIH Harimau Muda, Ong Kim Swee (gambar) optimis bahawa masa depan bola sepak negara masih ada sinarnya dan perkara itu dibuktikan dengan kehadiran begitu ramai pemain-pemain muda berbakat besar ketika ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas prestasi pemain-pemain belia negara yang beraksi pada Kejohanan Piala Antarabangsa Frenz 2012 yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) minggu lepas.

"Perkembangan itu dapat dilihat sekarang dengan persembahan menarik oleh dua pasukan bawah 15 tahun (B-15) negara iaitu Malaysia B-15 dan pasukan Frenz United Malaysia.

"Bagi membentuk sebuah pasukan kebangsaan yang mantap, kita perlu memberi perhatian serius terhadap pembangunan pasukan remaja," kata Kim Swee kepada Kosmo! baru-baru ini.

Katanya, untuk merealisasikan hasrat itu, ia memerlukan satu kelompok pemain yang besar bagi setiap peringkat umur.

Menurutnya lagi, apabila negara mempunyai jumlah pemain muda yang ramai, ia akan memberi banyak pilihan bagi menyerap pemain-pemain terbaik ke dalam pasukan senior kelak.

"Ketika ini, kita hanya memiliki kelompok kecil pemain muda dan untuk itu, semua pihak perlu memainkan peranan besar bagi menggilap pemain-pemain tersebut sebelum mereka benar-benar matang.

"Selain pasukan B-15 dan Frenz United, kita memiliki satu lagi pasukan hebat pada peringkat umur yang berpangkalan di Bandar Penawar, Johor kendalian bekas pemain Johor, Khalid Shahdan," katanya.

Dalam pada itu, Kim Swee turut memuji pihak pengurusan Frenz United kerana inisiatif yang sangat membanggakan kerana usaha membentuk sebuah akademi bagi mencungkil bakat baharu di negara ini yang mampu untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi pada masa depan.

Pada Kejohanan Piala Antarabangsa Frenz 2012 itu, pasukan B-15 Slovakia muncul juara sulung kejohanan setelah mereka mengalahkan Persepolis dari Iran manakala dua wakil negara, Frenz United Malaysia dan Malaysia B-15 sekadar menduduki tempat ketiga dan keempat.